Menu
#





Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalinkan kerjasama pintar dengan sebuah syarikat swasta untuk membina rumah mampu milik di kawasan kumbahan bagi mengatasi masalah perumahan dalam kalangan rakyat.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika program itu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekurang-kurangnya 500,000 unit rumah dapat dibina untuk memenuhi keperluan rakyat.


“Idea ini merupakan idea kreatif di mana kawasan kumbahan dahulunya menggunakan kawasan yang besar telah dapat dikecilkan dengan menggunakan teknologi terkini.

“Hanya lima hingga 10 peratus kawasan akan digunakan untuk tujuan kumbahan manakala selebihnya akan digunakan untuk tujuan pembinaan rumah,” Jelas Zahid ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017 SPNB di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata projek itu akan dilaksanakan di tanah-tanah yang tidak digunakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

"Dulu sistem IWK ini menggunakan banyak tanah untuk sistem kumbahan mereka tetapi sekarang ini IWK telah dipindahkan atau menggunakan sistem yang canggih yang hanya menggunakan keluasan tanah yang lebih kecil.

Jadi satu jawatankuasa telah dibentuk yang dipengerusikan YAB Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan jawatankuasa itu telah mengenal pasti dua lokasi yang mungkin boleh dibangunkan untuk projek itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita, Ahmad Azizi tidak mendedahkan lokasi terlibat.







0 comments:

Post a Comment

 
Top